KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ramai netizen di media sosial memuji sikap terpuji Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mencium tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas Malaysia mencatatkan kemenangan ke atas Bangladesh dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.

Gambar itu telah dimuat naik Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya dan telah mendapat respon daripada Faizal sendiri.

Faizal yang mempertahankan tindakannya itu berkata teladan memuliakan dan menghormati pada pemimpin sebetulnya sudah diajarkan oleh Rasulullah.

“Saya sentiasa menghormati semangat Keluarga Malaysia, Asyraf pula bagaimana.

“Jangan malu menghormati pemimpin yang baik, mesti jauhi pemimpin rasuah,” katanya di Facebooknya.

Netizen di media sosial juga berkata setuju dengan tindakan Faizal itu.

“Saya setuju, hormat menghormati pemimpin, lebih-lebih lagi yang lebih tua. Saya sentiasa sokong Peja (Faizal) Hidup Peja,” kata Mohd Aizat.

“Menghormati orang yang lebih tua. Itulah adat orang Melayu,” kata Mohd Lazis di Facebook.

“Bagus dan terbaik Datuk Seri. Sikap Terpuji sebagai orang Islam,” kata Aida Hassan.