KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Beliau dan Sukan (KBS) mengakui kehadiran dan sokongan padu daripada penyokong pasukan skuad Kebangsaan negara malam semalam memberi impak serta menyuntik semangat kepada pemain-pemain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sorakan tanpa henti Ultras Malaya telah memeriahkan suasana stadium dan memberi semangat pemain untuk beraksi dengan cemerlang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata kemenangan Malaysia ke atas pasukan Bangladesh semalam melayakan pasukan negara ke Piala Asia 2023 selepas 42 tahun menanti.

Katanya, skuad negara layak secara merit selaku naib juara kumpulan E.

“Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia. Teruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Faizal mendakwa kenyataannya mengenai sokongan penyokong menjadi antara faktor kekalahan kepada Bahrain 2-1 Sabtu lalu disalahertikan.

“(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” ciapnya menerusi akaun Twitter semalam.