KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan telah memohon kepada kerajaan agar tempoh pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman dipanjangkan sehingga 31 Disember ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, telah menulis surat kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan perkara itu pada April lalu.

Menjelaskan mengenainya, Wan Saiful berkata, sebelum ini kerajaan bersetuju memberikan diskaun 15 peratus kepada peminjam sekiranya membayar keseluruhan pinjaman bermula November tahun lepas.

“Tetapi diskaun tersebut telah tamat pada 30 April 2022 yang lalu. Namun pelaksanaan insentif diskaun itu telah memberikan manfaat kepada ramai peminjam.

“Setakat kita melaksanakan skim diskaun pada kali ini, saya lihat ramai yang ambil peluang membayar sehingga jumlahnya hampir RM1.5 bilion. Ini menunjukkan ramai peminjam mendapat manfaat daripada diskaun yang kita berikan.

“Saya mahu manfaat ini terus dirasai oleh lebih ramai peminjam dan sebab itulah saya rasakan ia perlu dilanjutkan dan saya buat permohonan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Wan Saiful menerima kunjungan hormat seramai 60 ahli Pertubuhan Kasih Iffah di Menara PTPTN hari ini.

Hadir sama, Pengerusi pertubuhan itu, Khairul Anuar Ramli.

Menurut Wan Saiful, dalam situasi ekonomi mencabar, wajar kerajaan meneruskan skim yang sedia ada.

“Dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah pasti diskaun tersebut adalah berita baik yang disambut oleh (orang) ramai.

“Saya tidak minta kelulusan untuk skim baru. Hanya saya mahu mengekalkan skim yang sama sahaja untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini.

“Saya amat berharap kerajaan akan memberi kelulusan kepada cadangan yang saya utarakan ini,” katanya.