KUALA LUMPUR, 15 Jun – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah buat julung kali mengadakan lawatan kerja ke India selama tiga hari bermula hari ini untuk menyertai pelbagai program rasmi.

Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau dijadualkan menghadiri Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM) sempena dengan ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN dan India.

“Mesyuarat ini bakal memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti perkembangan dan kemajuan kerjasama sedia ada serta hala tuju perkongsian strategik,” katanya di sini.

Beliau juga akan menghadiri sesi Dialog Delhi Ke-12 yang bertemakan ‘Memecah Halangan, Membina Jambatan di Indo-Pasifik’ bersama-sama dengan rakan-rakan sejawatannya lain.

India merupakan sahabat jangka panjang ASEAN sejak 1992 yang mempunyai jaringan istimewa dari segi sejarah, budaya dan tamadun kukuh menjangkau berkurun-kurun lamanya.

Hubungan ini, ujar kenyataan itu, berasaskan kepada kerjasama yang dinamik meliputi tiga tonggak utama ASEAN iaitu Komuniti Keselamatan Politik, Ekonomi dan Sosio Kebudayaan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Saifuddin turut dijadualkan menyampaikan ucapan ketika acara Panel Menteri Mengenai 30 Tahun Hubungan ASEAN-India pada sesi dialog itu.

“Lawatan kerja ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan perkongsian dalam kerjasama strategik termasuk pemulihan pasca pandemik berdaya tahan,” katanya.

Selain menyertai SAIFMM, beliau turut akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari India, Dr. Subrahmanyam Jaishankar di Bangunan Sekretariat di New Delhi.

Sesi tersebut juga adalah satu manifestasi kukuh kedua-dua negara yang lama dijalinkan di samping akan terus bekerjasama ke arah keamanan, kemajuan dan kemakmuran sejagat.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dan India yang menikmati jalinan persahabatan akrab melalui perkongsian sejarah dan sosial.