KANGAR, 17 Jun – BERSATU Kangar menafikan dakwaan bahagian itu lumpuh, sebaliknya tiada halangan dan menerima pengisytiharan keluar parti oleh tiga ketua cawangan dan beberapa ahli jawatankuasa yang diumumkan hari ini.

Setiausaha BERSATU Bahagian Kangar, Azahar Hassan berkata tindakan ini akan membuatkan parti berada dalam keadaan yang lebih kuat dan tiada kacau ganggu daripada mereka.

“Kami tiada halangan dan menerima serta mengucapkan ribuan terima kasih atas tindakan ini kerana parti akan berada dalam keadaan yang lebih kuat memandangkan selama ini mereka tidak langsung memberi sumbangan kepada parti dan lebih kepada mengganggu perpaduan dan kenteteraman dalaman parti.

“Sesungguhnya, kami tidak terjejas dengan tindakan ini malah Jawatankuasa BERSATU Bahagian Kangar lebih bersemangat kerana kacau ganggu telah tiada.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Utusan Malaysia melaporkan BERSATU Bahagian Kangar lumpuh selepas 1,000 ahli bahagian berkenaan bersama ketua-ketua di lapan cawangan di sini meletakkan jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Laporan berkenaan memetik tindakan itu dibuat selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Dalam reaksi segera ketika dihubungi, Abu Bakar berkata laporan media itu tidak tepat apabila hanya melaporkan pada sebelah pihak.

Ini kerana, katanya, modus operandi mereka hanya ingin menjejaskan imej BERSATU, namun tindakan itu dilihat ‘dangkal’.

Malah katanya, perjalanan parti di peringkat bahagian akan berjalan seperti biasa dengan adanya struktur organisasi yang baru.

“Mereka yang keluar parti itu tiada sumbangan pun selama ini. Parti perlu bergerak ke hadapan. Elok mereka keluar.

“Mungkin juga mereka tertarik dengan tawaran di sebelah sana, ini mainan politik mereka.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli BERSATU di Kangar dan negeri, rapatkan saf dan jangan terpedaya dengan agenda mereka yang nak jatuhkan imej BERSATU,” katanya.