KUALA LUMPUR, 17 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan kononnya beliau ada menerima sumbangan dana politik berjumlah RM1.3 juta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata dakwaan tersebut adalah palsu yang memberikan gambaran pihaknya turut menerima sogokan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menjelaskan, dakwaan bahawa beliau menerima dana tersebut antara Jun hingga Ogos 2018 juga tidak tepat berikutan pada tempoh tersebut beliau sedang mengambil cuti sakit akibat pembedahan.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menyatakan tidak pernah menerima sebarang bentuk wang tunai daripada syarikat berkenaan seperti yang dinyatakan ketika sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini. Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini,” ujarnya lagi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat diberitahu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik berjumlah RM1.3 juta yang diperoleh daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.