KUALA LUMPUR, 17 Jun – BERSATU Kedah menggesa pemimpin-pemimpin UMNO turut membuat penafian menerima rasuah seperti yang dilakukan oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli memuji tindakan Muhyiddin yang menafikan menerima rasuah dan menyokong semangat keterbukaan beliau untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“BERSATU Kedah berharap nama-nama mereka yang disebut yang terdiri dari ahli parlimen dan bekas ahli parlimen UMNO iatu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Anifah Aman turut membuat penafian yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul yang juga Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai juga meminta ahli parti dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan kenyataan saksi ke-17 kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dalam mahkamah hari ini.

Beliau berkata BERSATU Kedah akan membuat satu laporan kepada pihak SPRM dan memohon satu siasatan dibuat ke atas kenyataan David dan mengharapkan satu siasatan yang telus dan adil dapat dibuat dengan segera.

“Selaras dengan kenyataan Muhyiddin, harus ditegaskan bahawa BERSATU adalah satu-satunya parti yang meletakkan perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa di dalam perlembagaan parti.

“Hal ini menunjukkan bahawa kita tegas dan serius dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menafikan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara Jun dan Ogos 2018.

Muhyiddin berkata, keterangan yang diberi oleh bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David, yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Zahid semalam, adalah palsu.

Muhyiddin menjelaskan, dakwaan bahawa beliau menerima dana tersebut antara Jun hingga Ogos 2018 juga tidak tepat berikutan pada tempoh tersebut beliau sedang mengambil cuti sakit akibat pembedahan.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.