KUALA KANGSAR, 18 Jun – Kerajaan telah membayar sebanyak RM200 juta subsidi harga ayam kepada penternak dalam tempoh empat bulan sejak Februari lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan subsidi sebanyak RM729 juta bagi memastikan ayam standard dijual pada harga siling iaitu RM8.90 sekilogram.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, tuntutan bagi bayaran itu akan berakhir pada 30 Jun ini dengan lebihan subsidi berkenaan tidak akan digunakan bagi tujuan sama.

“Kita akan alihkan lebihan subsidi itu kepada bentuk lain seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kepada golongan B40).

“Bila (sumbangan kewangan diberikan), akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pasar tani kekal Kuala Kangsar dan projek pembangunan pemasaran agromakanan Fama Manong di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Menurut beliau, pemberian subsidi kepada penternak adalah bagi meringankan beban kos pengeluaran yang semakin meningkat.

Bagaimanapun katanya, pemberhentian subsidi itu pada 1 Julai ini mungkin akan menyebabkan harga ayam meningkat kepada RM11 hingga RM12 sekilogram.

“Harga ayam kini dijual pada harga RM8.90 sekilogram iaitu di bawah harga pasaran di mana perbezaan sebanyak RM1.40 itu ditampung oleh kerajaan melalui pemberian subsidi.

“Jika harga ayam diapung, sudah tentu harganya melebihi harga siling yang ditetapkan sebelum ini. Jadi kerajaan telah memutuskan untuk mengalihkan pengagihan subsidi bukan lagi kepada industri tetapi kepada golongan B40,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga maklum tentang kenaikan kos input ditanggung penternak merangkumi kos buruh, kos makanan ternakan dan kos pengurusan selain kematian ternakan disebabkan penyakit.