ALOR SETAR, 19 Jun – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianugerahkan penerima Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-80 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Tengku Sarafudin dikurniakan Darjah Kerabat Kedah, diikuti Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff yang dikurniakan Darjah Kerabat Sallehuddin serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang dikurniakan gelaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah.

Selesai menganugerahkan kepada ketiga-tiga kerabat baginda itu, Sultan Sallehuddin kemudian menyampaikan anugerah kepada penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-79 yang tidak dapat diadakan pada tahun lalu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai penerima bagi tahun lalu.

Timbalan Ketua Istiadat Datuk Mohd Omar Mohamed dianugerahkan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (DPSS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira pula dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Sultan Sallehuddin juga turut berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk kepada dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah iaitu ADUN BERSATU Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN PAS Bukit Pinang Wan Romani Wan Salin.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah yang juga ADUN BERSATU Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Sultan Sallehuddin juga turut berkenan menganugerahkan Jaksa Pendamai (JP) kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, yang juga ADUN BERSATU Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Sementara itu, seramai 21 penerima dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk antaranya termasuk Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Hakim Mahkamah Tinggi Sungai Petani (1) Chan Jit Li, Ahli Dewan Undangan Negeri Belantik Mohd Isa Shafie dan Pegawai Daerah Kulim Abdul Bari Abdullah.