TAIPING, 19 Jun – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kebiasaannya pada bulan Mei, cuaca kembali seperti sediakala tetapi sehingga kini cuaca masih tidak menentu menyebabkan pendaratan ikan berkurangan.

“LKIM perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan sebanyak mungkin ikan untuk disejukbekukan ketika musim penangkapan dan pendaratan ikan yang banyak daripada nelayan.

“LKIM juga perlu membeli ikan daripada nelayan bagi penyimpanan sejuk beku bukan membeli daripada swasta bagi memastikan stok mencukupi apabila tiba musim tengkujuh,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Bantuan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Terbuka Pejabat Pusat Khidmat P059 hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang berkata LKIM memiliki kilang dan tempat penyimpanan sendiri jadi tidak timbul isu bekalan kurang sekali gus mengatasi masalah kartel.

“Isu kartel melibatkan bekalan ikan timbul disebabkan LKIM tidak membuat persediaan awal untuk menyimpan stok ikan menyebabkan kartel mengambil kesempatan mengurangkan bekalan ikan di pasaran dan seterusnya menentukan harga,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz juga mengakui wujud masalah dalaman apabila terdapat pegawai LKIM yang memandang ringan cadangan penyimpanan stok ikan dan berharap pengurusan tertinggi badan itu mengambil langkah sewajarnya.