KOTA KINABALU, 19 Jun – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meminta diberi ruang untuk mempertimbangkan penyertaan parti-parti tempatan ke dalam gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, gabungan itu mempunyai perancangan tersendiri dalam menyatukan parti-parti yang ada di Sabah maka, beri ruang secukupnya kepada GRS.

“Apa yang kita lakukan demi kebaikan negeri Sabah dan juga perpaduan parti-parti yang ada di Sabah. Bagi la kami ruang, bukan terus-terus kita akan buat begitu (terima).

“Kita ada caranya untuk menyatukan dan menerima parti-parti yang ingin bersama dengan GRS,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Pesta Koko Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang dakwaan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bahawa hasrat GRS mahu menyatukan parti tempatan di Sabah sekadar cakap kosong.

Ia susulan tindakan GRS yang sehingga kini masih belum menerima permohonan beberapa parti tempatan seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demoratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, permohonan parti-parti yang ingin menyertai GRS sedang dipertimbangkan secara baik dan teliti.

Semasa didaftarkan secara rasmi pada Mac lalu, GRS dianggotai oleh empat parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Kemudian, baru-baru ini, GRS meluluskan penyertaan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) ke dalam gabungan berkenaan.

Pembentukan GRS semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) September 2020 disertai oleh Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu, STAR, SAPP dan Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PBS.