ALOR SETAR, 19 Jun – BERSATU Kedah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Ahli Parlimen UMNO yang nama mereka turut disebut menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan BERSATU Negeri Kedah Khairul Anuar Ramli di pejabat SPRM di Alor Setar, pagi tadi.

“Tujuan kami membuat laporan hari ini adalah untuk menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan satu penyiasatan terperinci berhubung dengan keterangan David Tan Siong Sun, bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd di mahkamah yang mana beliau telah menyatakan bahawa seramai enam ahli politik telah diberikan dana daripada UKSB.

“YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau tidak pernah menerima dana daripada UKSB,” katanya kepada pemberita hari ini.

Laporan itu dibuat terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Laporan itu dibuat bagi membolehkan SPRM menyiasat sama ada David Tan membuat kenyataan itu atas sogokan mana-mana pihak atau tidak.

Muhyiddin menafikan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara Jun dan Ogos 2018.

Muhyiddin berkata, keterangan yang diberi oleh bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David, yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Zahid semalam, adalah palsu.

Muhyiddin menjelaskan, dakwaan bahawa beliau menerima dana tersebut antara Jun hingga Ogos 2018 juga tidak tepat berikutan pada tempoh tersebut beliau sedang mengambil cuti sakit akibat pembedahan.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.

Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.