ALOR SETAR, 19 Jun – Desakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera berkemungkinan akan mempengaruhi keyakinan pelabur untuk membuat pelaburan di Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelabur memiliki beberapa kriteria memilih negara menjadi destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Sebuah syarikat (pelaburan) mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti, selain daripada ekosistem perniagaan yang kondusif untuk mereka membuat pelaburan di Malaysia.

“Sebab itu, saya berpandangan bahawa ini bukan masanya untuk mengadakan PRU15, (tetapi) tumpuan kita adalah untuk melindungi kesihatan rakyat kerana Covid-19 masih ada,” katanya.

Azmin berkata sedemikian selepas perjumpaan bersama beliau dengan kepimpinan BERSATU Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada desakan PRU15 diadakan segera mampu menggugat peluang pelaburan di Malaysia.

Azmin berpandangan, program pemulihan ekonomi perlu disegerakan dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan supaya pemulihan dapat berjalan lancar dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, beliau mendapati perkara terbabit adalah aspirasi dan permintaan rakyat memandangkan negara baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

“Kita lihat prestasi ekonomi semakin pulih dan kita sedang berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi negara. Sudah tentulah kita memerlukan sedikit lagi supaya program pemulihan ini dapat berjalan lancar.

“Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serangkah satu dua kerat pemimpin di atas yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.