KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pencapaian pelari pecut muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau diberi jolokan ‘Usain Bolt’ Malaysia, yang meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Well done, very good,” katanya menerusi panggilan video dibuat kepada Muhammad Azeem.

Selain mengucapkan tahniah kepada Muhammad Azeem yang memperoleh keputusan 6A, 1B dan 1C, Ahmad Faizal turut berpesan kepada atlet itu agar tidak mengulangi kesilapan ‘false start’ atau salah mula pada separuh akhir acara 100m lelaki Sukan SEA Hanoi, Vietnam, bulan lepas.

Kesilapannya itu menyaksikan penyertaan beliau dibatalkan pada acara olahraga yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh.

Selain Muhammad Azeem, Ahmad Faizal turut kagum dengan pencapaian atlet pelayaran Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri, yang meraih keputusan 8A dan 1B dalam SPM 2021.

“Anda perlu kekalkan momentum and teruskan berjaya,” katanya ketika menghubungi Nur Adlina.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pelajar terbaik Sekolah Seni Malaysia Perak Nasrin Humaira Mohamad Adzhar, yang memperoleh keputusan 10A dalam SPM 2021.