KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus menikmati pengecualian sewa sehingga 31 Disember ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata perlanjutan bermula 1 Julai ini, dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, KPM memahami pengusaha kantin dan penyewa premis sedang dalam proses pemulihan susulan pandemik COVID-19.

“Tempoh dua tahun lalu adalah satu tempoh yang amat sukar bagi pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah KPM.

“KPM membuat keputusan bahawa pengecualian sewa bagi premis KPM dilanjutkan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzi berkata, pihaknya yakin perlanjutan selama enam bulan itu akan dapat membantu dan dimanfaatkan oleh pengusaha kantin, penyewa premis dan warga sekolah.

Sebelum ini, KPM memberi pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah bawah KPM bagi Mac hingga November 2020, dan Januari sehingga Disember 2021.

Januari tahun ini, Radzi mengumumkan perlanjutan pengecualian sewa berkenaan sehingga bulan ini.