KUALA LUMPUR, 21 Jun – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat membuat keputusan dengan segera bagi memuktamadkan pengganti kepada Datuk Zuraida Kamaruddin dalam jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata sudah menunggu terlalu lama untuk temu janji berjumpa perdana menteri berhubung kedudukan Zuraida.

“Saya tunggu tarikh untuk bertemu perdana menteri.

“Saya fikir sudah lebih dua minggu dan terlalu panjang untuk saya tunggu. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera oleh perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob),” katanya selepas menghadiri Program Ruang Belia di Some Derby Convention Centre, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Zuraida yang masih dalam Kabinet walaupun keluar BERSATU dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), bulan lalu.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama BERSATU sebelum keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai PBM, awal bulan ini.

Pimpinan BERSATU mahu Ismail menggugurkan Zuraida sebagai menteri dan jawatan itu diberikan kepada calon lain daripada BERSATU.

Sementara itu, Muhyiddin berkata terpulang sekiranya Zuraida mahu berharap dapat kekal dalam jawatannya di dalam Kabinet.

Bagaimanapun, beliau berkata BERSATU tetap mahu kuota menteri mereka diganti dengan pimpinan lain dalam partinya.

“Itu dia punya haraplah. Tapi soal pokoknya perdana menteri kena buat keputusan .

“Dia nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia. Terapi kuota BERSATU itu dia tidak boleh ambil.

“Manalah tahu dia (Ismail) nak wujudkan satu kementerian untuk Zuraida jadi (menteri) pun itu hak dia. Saya dah sedia nama tapi tak sampai perdana menteri lagi,” katanya.