KUALA LUMPUR, 21 Jun – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 2024 bakal merevolusikan sistem sedia ada yang sudah diaplikasikan di negara ini sejak dua dekad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sistem yang menelan belanja lebih RM1 bilion itu akan menjadikan sistem imigresen negara antara yang terbaik dunia selari dengan kemajuan teknologi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, kontrak bagi projek ini antara kerajaan dan syarikat Iris Information Technology Systems Sdn Bhd dan beberapa buah syarikat lain telah dimuktamadkan pada Mei lalu.

“Bagi memenuhi keperluan semasa yang bertambah kompleks, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited untuk menambah baik sistem imigresen sedia ada agar menjadi lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan mesra pelanggan.

“Projek ini selari dengan perkembangan teknologi terkini seperti ‘internet of things’ (IOT), data raya, dan kecerdasan buatan (AI) agar sistem imigresen negara kekal relevan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Kontrak Projek NIISe di Hotel Royale Chulan di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, selain NIISe, sebanyak RM889 juta dana membabitkan 61 kontrak telah diluluskan sejak tahun 2021 hingga kini bagi melaksanakan projek dalam usaha memodenkan sistem imigresen negara.

“Selain projek pembinaan Kompleks Kastam dan Imigresen (ICQ) baharu dan naik taraf pintu-pintu masuk negara, pelaksanaan ‘automated clearance sistem’ dan kaunter ‘bi-directional’ seperti di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dapat meningkatkan kecekapan kawalan pintu-pintu masuk negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, antara teknologi terkini dalam pembangunan projek NIISe ialah Automated Biometric Identification System (ABIS), Advance Passenger Screening (APS) dan Analitik Datar Raya (BDA).

Menurut beliau, kerajaan telah melantik pihak ketiga untuk membantu dalam mengawal selia, memantau dan mengaudit pelaksanaan projek berkenaan.

“Kerajaan telah melantik MIMOS Berhad sebagai Independent Project Management (IPM) untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd yang bertindak melaksanakan verifikasi dan validasi ke atas sistem yang dibangunkan.

“Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) untuk membantu pihak KDN memastikan ia berjalan lancar,” ujarnya.