BANGI, 21 Jun – Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas sikap Umno dan Barisan Nasional (BN) yang beralih arah menyerang pemimpin Perikatan Nasional (PN) secara bertubi-tubi berbanding strategi “membunuh DAP” sebelum ini.

“Dalam rangka kita nak bersedia untuk PRU15, PN diserang bertubi-tubi dari pelbagai sudut. Ada sebab kenapa…yang ‘best’nya musuh PN (gabungan selain PN) tak serang sesama dia, contoh Pakatan Harapan (PH) atau BN, dua ni tak serang satu sama lain, kurang sangat serang satu sama lain.

“Yang ditumpunya adalah PN, kita kena tanya kenapa PN yang diserang? Kalau dulu PH yang ditakuti oleh sebelah sana (Umno/BN), terutamanya DAP. Sekarang kurang sungguh perbincangan bagaimana menyekat DAP kembali berkuasa. Tetapi yang ditumpu ialah memburukkan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Kelompok Isu Semasa di Dewan D’Mawaddah, Bangi malam tadi.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda PN Selangor Dr Fairuz Azmi, dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Wan Saiful mendakwa, jika integriti dan kredibiliti PN, khususnya membabitkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dimusnahkan, maka gabungan itu akan menjadi pencabar utama kepada mana-mana parti yang mahu berkuasa mutlak di Putrajaya.

Wan Saiful menjangka serangan terhadap Muhyiddin akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini sukar kita nafikan, serangan terhadap Muhyiddin memang bertubi-tubi.

“Kerana, jika karakter Muhyiddin mereka tidak bunuh, maka nama Muhyiddin yang akan menjadi calon teratas untuk jawatan Perdana Menteri selepas PRU15. Sebab itu mereka mahu membunuh karakter Muhyiddin sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful mendakwa BERSATU tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah atau membatalkan surat penerimaan jemputan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), selepas keluar daripada PH.

“Kita dijemput menyertai MN. Dan kita terima untuk masuk (MN). Sampai hari ini (BERSATU) tak pernah batalkan surat untuk menerima jemputan masuk dalam MN.

“Maknanya MN yang jemput kita masuk dan kita telah setuju. Jadi siapa sebenarnya yang tolak perpaduan? Bukan kita,” kata Wan Saiful.

Pendedahan itu menyusul beberapa pemimpin Umno dan PAS bercanggah pendapat mengenai masa depan MN, yang mana Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyifatkan kerjasama perpaduan ummah antara dua parti itu sudah “sampai ke surah terakhir”.

Bagaimanapun, pandangan itu ditolak Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang bertegas kerjasama dua parti besar Melayu itu masih diperlukan untuk membentuk kestabilan negara pada masa depan.