PUTRAJAYA, 22 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata jika terdapat senarai kedudukan ranking yang boleh diakses oleh orang ramai ia mungkin dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang mengumpulkan maklumat tersebut.

“Saya tidak tahu Tan Sri Noor Azlan dapat dari mana maklumat tersebut, untuk makluman KPM tidak pernah keluarkan sebarang ranking untuk keputusan SPM. Boleh semak bahawa tahun-tahun sebelum ini pun memang tidak ada ranking yang dikeluarkan KPM.

“Kalau ranking ini dibuat oleh pihak-pihak lain maka itu di luar bidang kuasa kami, kami tidak dapat menghalang (mungkin mereka) berusaha keras untuk dapatkan maklumat dan mengumpulkannya sebagai ranking.

“Jadi saya amat berharap, semua di luar sana betul-betul menyemak fakta yang ada sebelum membuat sebarang ulasan kerana ini memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan sistem yang dilihat seolah-olah mewujudkan satu ranking untuk membanding-bandingkan sedangkan kita lihat pada hari pengumuman pun tidak pernah disebut dalam laporan yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman Anugerah Sastera Negara Ke-15.

Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bahawa KPM perlu menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Noor Azlan berkata, sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengkaji semula mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Beliau berkata kementerian itu akan melihat punca mengapa ramai calon gagal dalam subjek tersebut dalam peperiksaan tahun lalu.

“Kita akan lihat apakah faktor-faktor penyumbang kepada keputusan tersebut dan mencari satu pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah dan pastikan pada masa akan datang jumlah pelajar yang gagal mata pelajaran ini dapat kita kurangkan dari masa ke semasa,” katanya.