KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kerajaan bersetuju melaksanakan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank melibatkan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, program itu akan menawarkan kemudahan pembiayaan khusus mengikut agihan pembiayaan melibatkan enam perkara.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta diperuntukan bagi pembiayaan ternakan ayam; RM200 juta bagi ternakan ruminan (lembu dan kambing) dan RM100 juta bagi tanaman sayur-sayuran.

Selain itu ialah RM100 juta bagi usahawan mikro; RM50 juta bagi usahawan mikro baharu; dan RM50 juta bagi usahawan muda.

“Had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ternakan ruminan dan tanaman sayur sayuran ditetapkan sehingga RM5 juta manakala, had maksimum pembiayaan bagi usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda adalah sehingga RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald berkata, tempoh pembiayaan untuk DPAKM ini adalah sehingga 8.5 tahun termasuk enam bulan moratorium yang akan ditawarkan kepada semua golongan sasar.

Katanya, pihak kementerian juga giat dalam mempermudah pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu dan sehingga semalam sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta diluluskan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan-tindakan susulan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.

Ini termasuk memperincikan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang merentasi semua subsektor agromakanan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dalam memastikan kelangsungan bekalan dan ketersediaan makanan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Ronald berkata, bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan ini serta disasarkan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.