KUALA PERLIS, 23 Jun – Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada individu-individu yang sebelum ini dilaporkan mengisytiharkan keluar daripada BERSATU.

Beliau berkata tindakan itu dilihat hanyalah semata-mata untuk menjadikan BERSATU Perlis lumpuh sebagai isu propaganda.

“Saya belum terima satu surat rasmi mengatakan individu-individu itu letak jawatan.

“Sekadar umum tetapi tidak sampai sebarang surat yang mengatakan mereka isytihar keluar parti. Itu hanya propaganda,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di sini, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu adalah Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus; Ketua Bahagian BERSATU Arau, Megat Hashirat; Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan; dan Ketua Bahagian BERSATU Sepang, Dato’ Suhaimi Ghazali.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) akan menerajui kerajaan negeri Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yakin 3,000 ahli BERSATU Perlis yang ada masih setia dan semua 36 cawangan parti itu masih aktif.

“Apa yang penting ahli BERSATU sedar ini parti baru yakin mempunyai jentera yang mampu memberi satu kejutan pada PRU15.

“Kalau tegok ada 15 DUN (di Perlis). PAS ada dua kerusi (sekarang).

“Kalau (kerusi PAS) kekal dan tambah enam kerusi lagi kita boleh kuasai di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan BERSATU Bahagian Kangar yang didakwa lumpuh selepas hampir semua ahli jawatan kuasa serta ketua di lapan cawangan di sini, meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.