KUALA PERLIS, 23 Jun – Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dicadang mewujudkan geran usahawan bidang penternakan ayam bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha di kalangan Bumiputera menceburi industri ternakan ayam dan industri makanan ternakan alternatif untuk ayam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Yazid Mohd Yunus berkata langkah itu bagi memastikan masalah kenaikan harga ayam yang berkait rapat dengan kenaikan harga makanan ternakan ayam, dapat diatasi demi keprihatinan dan kesejahteraan rakyat.

“BERSATU menyokong usaha MAFI untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dalam memastikan kelangsungan bekalan dan ketersediaan makanan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan keprihatinan rakyat dijaga.

“BERSATU akan mengusul perkara ini melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan datang kepada YB Menteri MAFI yang juga Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee agar mewujudkan geran usahawan untuk penternakan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang penyembelihan ayam MyFarm Village di sini, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu adalah Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Bahagian BERSATU Arau, Megat Hashirat; Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan; Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah; dan Ketua Bahagian BERSATU Sepang, Dato’ Suhaimi Ghazali.

Dalam menjamin kelestarian dan kemampanan industri ternakan ayam di masa depan, Mohd Yazid mengesyorkan MAFI menukar sistem penternakan ayam kepada reban moden tertutup (modern closed house) berbanding secara terbuka.

“Tujuan penukaran sistem ini bagi meningkatkan produktiviti berat dan masa cepat matang, mengurangkan kematian ayam dan mengatasi isu pencemaran alam iaitu pembuangan najis ayam dan kehadiran lalat,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, beliau mencadangkan agar agensi dan institusi yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tampil mengutamakan projek penyelidikan makanan ternakan alternatif untuk ayam dengan penggunaan hampas kelapa sawit, dalam membendung kenaikan harga ayam.

Selain hampas sawit, katanya, BERSATU juga mencadangkan agar MAFI melaksanakan program menggalakkan pengusaha ternakan ayam menggunakan larva serangga ‘black soldier fly’ (BSF) dalam penghasilan dedak ayam.

“BERSATU juga mencadangkan MAFI melihat keberkesanan tanaman ketum ayam, atau nama saintifiknya Trichanthera gigantea turut dikenali dengan ‘mandre de agua’ yang berasal daripada Amerika Selatan, sebagai sumber makanan alternatif yang popular dalam kalangan penternak haiwan ternakan, di mana mampu menjimatkan sehingga 40 peratus kebergantungan kepada dedak ayam sekaligus mengekang kenaikan harga ayam terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya.

Jelasnya, BERSATU juga menyamput baik langkah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang akan mengusahakan tanaman jagung bijirin skala besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import, khususnya kepada ternakan ayam, di mana NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran 144 juta ekor ayam setahun, manakala 30 juta ekor lagi dikeluarkan oleh ANGKASA.

“Oleh kerana ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna, industri penanaman jagung bijirin dilihat proaktif bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

“Kami mencadangkan agar satu kerjasama strategik untuk meningkatkan pengeluaran jangung bijian tempatan melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diyakini mampu mengatasi kebergantungan negara terhadap bekalan jagung bijirin import bagi kegunaan makanan ternakan ayam,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 21 Jun 2022, sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta daripada nilai keseluruhan RM729.43 juta sejak diumumkan 5 Februari lalu, telah diluluskan oleh MAFI.