KUALA PERLIS, 24 Jun – BERSATU Puchong menggesa semua pihak bertindak adil dan tidak hanya menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam dakwaan menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa berkata terdapat beberapa pemimpin politik parti lain juga didakwa menerima dana UKSB dan sepatutnya mereka juga perlu disiasat.

“Sekarang ini fokus kepada Muhyiddin sahaja. Yang disebut seramai 5 orang.

“Kenapa difokuskan kepada Muhyiddin seorang. Sedangkan yang lain 4 orang adalah ahli (politik) daripada parti pemerintah juga,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di Kuala Perlis baru-baru ini.

Shukor juga berharap siasatan juga dibuat seimbang terhadap semua pemimpin terlibat.

Beliau berkata Muhyiddin juga adalah pemimpin pertama yang membuat kenyataan penafian dan membuat kenyataan sedia untuk disiasat.

“Kita harap satu (siasatan) seimbang dibuat. Sekiranya tuduhan dibuat kepada Muhyiddin, tuduhan perlu dibuat kepada 4 lagi pemimpin politik terlibat.

“(Baru) nampak keadilan di situ. Sekiranya buat satu arah, kita nampak ia lebih kepada tuduhan peribadi,” katanya.