KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk pemain-pemain industri penternakan bagi membincangkan isu berkaitan dengan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran.

Menteri MAFI Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia susulan keputusan kerajaan supaya harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Katanya, keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperoleh dengan harga kawalan yang berpatutan.

“Bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan ini dan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.

“Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang pada Isnin ini bagi terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan,” katanya dalam satu dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ronald berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.