KUALA LUMPUR, 24 Jun – Penggunaan logo parti sama ada secara sendirian atau mengikut gabungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sepatutnya dibincang ketika ini kerana dibimbangi mengundang persepsi buruk kepada keterangkuman Perikatan Nasional (PN).

Memetik Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata, yang menjadi keutamaan sekarang ialah strategi menguatkan parti serta mengagihkan kerusi secara adil kepada semua parti komponen.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu berkata, pandangan menggunakan logo sendiri dan bukan gabungan besar tidak boleh diterima walaupun atas kapasiti peribadi, kerana ia menjangkaui pandangan pimpinan tertinggi.

“Keputusan ini terlalu besar, lebih baik tunggu keputusan Majlis Presiden untuk putuskan apa logo dan bendera boleh digunakan. Tetapi, saya tidak boleh terima kerana PN sudah ada logo sendiri malah bertanding beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

“Apabila sudah wujudkan satu perikatan seperti PN dan telah didaftarkan sebagai gabungan rasmi mestilah PN tunjukkan kita ada kesatuan yang kuat. Caranya, guna logo PN. Tidak boleh ikut suka hati mahu guna logo apa.

“Jika itulah kehendak yang sesuai untuk menang, maka boleh ambil kira, tetapi sekarang bukan bincang pasal ini. Sekarang kukuhkan parti dahulu untuk menang pilihan raya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Jawatankuasa Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki atas kapasiti peribadinya berkata, Pas masih perlu menggunakan logo parti itu sebagai strategi untuk menang dalam pilihan raya terutama di kawasan Pantai Timur dan negeri lingkaran Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, Pas menggunakan logo PN bagi mencerminkan semangat muafakat dalam kalangan parti gabungan itu.