BUKIT GANTANG, 25 Jun – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu segera membeli hasil tangkapan nelayan bagi mengelakkan kartel memonopoli pendaratan ikan, sekali gus menyebabkan harganya meningkat mendadak.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Al Fasal, berkata pihaknya berbuat demikian kerana bimbang kartel akan membeli seberapa banyak hasil pendaratan nelayan untuk dibekukan berikutan bulan ini sehingga Oktober adalah musim banyak ikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang berkata, sekiranya perkara itu berlaku, ia akan menyebabkan bekalan ikan semasa menyusut, sekali gus menyaksikan harga ikan di pasaran melambung tinggi.

“LKIM perlu membeli dan menyimpan ikan dari sekarang kerana tempoh beberapa bulan ini adalah musim pendaratan ikan yang banyak di perairan kita.

“Jika pihak kartel berjaya membuat pembelian yang banyak dan dijadikan ikan sejuk beku, harga ikan semasa akan melambung ketika musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Kelubong Challenge tertutup Parlimen Bukit Gantang di Kampung Kelubong, di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, bagi memastikan bekalan ikan sejuk beku dapat bertahan untuk jangka panjang, LKIM akan mengarahkan bot yang mendapat subsidi daripada kerajaan supaya menjual separuh daripada hasil tangkapan mereka bagi dijadikan ikan sejuk beku sebagai stok.

Katanya, isu kekurangan bekalan ikan tidak seharusnya berlaku lagi memandangkan pihak kerajaan telah membenarkan kemasukan pekerja warga asing untuk berkerja di bot kelas C atau laut dalam.

“Sempadan telah dibuka, jadi tiada isu kekurangan pekerja asing untuk bot laut dalam.

“Namun warga asing yang dibawa masuk khususnya dari Thailand akan menjalani ujian saringan air kencing terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.