KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kerajaan digesa menyegerakan konsultasi dengan parti-parti politik mengenai Akta Pendanaan Politik.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata usaha itu perlu dibuat supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.

Katanya lagi, selia pendanaan politik itu tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan.

“Idea-idea penting mengenainya telah dibahaskan sebelum ini.

“Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada ‘political will’ atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Katanya, semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada ramai pemimpin Umno seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dan lain-lain lagi,” katanya.

Wan Saiful juga berkata sebelum ini ada laporan mengenai bagaimana individu yang rapat dengan Najib dikatakan disuruh menghantar wang dari sebuah syarikat kepada pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

“Jam tangan mewah pun dikatakan diberikan kepada Lim Guan Eng.

“Banyak lagi cerita-cerita mengenai penyaluran wang kepada orang politik yang berlaku secara tidak telus. Jika tiada undang-undang, maka masalah ini akan berterusan,” katanya.

Tambahnya, beliau terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan Akta berkaitan pendanaan politik.

Beliau berkata merupakan salah seorang ahli dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu yang ditugaskan mengkaji mekanisme menyelia pendanaan politik.

“Draf yang kami sediakan sudah cukup baik untuk dijadikan asas kepada langkah seterusnya.

“Saya juga merupakan ahli jawatankuasa Electoral Reform Committee di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

“Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan,” katanya.

Beliau juga pernah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kumpulan rentas parti (All Party Parliamentary Group – APPG) mengenai pendanaan politik.

“Cadangan saya masa itu dipandang sepi kerana Malaysia belum biasa dengan konsep APPG.

“Bagaimanapun, walaupun agak sejuk pada mulanya, alhamdulillah kini sudah ada beberapa APPG dan salah satunya ialah mengenai pendanaan politik,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.