KUALA BERANG, 26 Jun – Harga siling baharu ayam yang akan diumumkan kelak, mengambil kira kepentingan pengguna dan kelangsungan peniaga secara seimbang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata harga siling baharu itu dilihat sebagai situasi saling menguntungkan antara pengguna dan penggerak industri ternakan terbabit.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata harga siling ayam tidak akan mencecah RM15 sekilogram seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Memang akan berlaku sedikit peningkatan berbanding harga siling sebelum ini iaitu RM8.90 kerana kita mengambil kira lonjakan kos dialami penternak.

“Bagaimanapun, harga baharu kelak masih mampu dibeli pengguna kerana kalau mahal, sudah tentu permintaan berkurangan.

“Penggerak industri menyedari hal ini dan bagi memastikan situasi saling menguntungkan, kerajaan akan memastikan harga siling ayam tidak membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Iman dan Bilal Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Rosol berkata, KPDNHEP dalam proses melengkapkan siasatan membabitkan isu caj sampingan seperti caj menangkap ayam di ladang, pemotongan dan sebagainya.

Menyentuh bekalan minyak paket satu kilogram, beliau berkata, kuota ketika ini ialah 60,000 tan sebulan dan kerajaan menyedari permintaan semakin meningkat susulan kenaikan harga minyak masak botol antara RM7 hingga RM8 setiap kilogram.

“Kita sudah memohon kuota tambahan 10,000 tan daripada Kementerian Kewangan bagi memenuhi keperluan, namun keputusan bergantung kepada kementerian berkenaan,” katanya.