TUMPAT, 26 Jun – Kerajaan meletakkan sasaran 100 juta pokok ditanam sehingga 2025 sebagai langkah melestari dan memulihara alam sekitar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini sejumlah 35 juta pokok berjaya ditanam di seluruh negara.

Dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan itu, langkah yang diambil UMW Holdings Berhad dengan mengambil bahagian menanam pokok antara khidmat sosial korporat membantu mengekalkan kelestarian alam semula jadi.

“Kita ucap tahniah kepada UMW kerana telah mengambil inisiatif menanam 300,000 pokok.

“Kita menggalakkan lebih banyak syarikat menyatakan minat menanam pokok bagi memupuk semangat cintakan alam dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.

Jelas Mustapa lagi, penglibatan sektor korporat juga dapat memberi galakkan kepada pihak lain untuk terlibat sama.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuad Kenali memaklumkan UMW Holdings Berhad menyasarkan menanam 300,000 pokok di seluruh negara.

“Dari segi pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau ini, kami bersama rakan-rakan, seperti Toyota, Perodua, Yayasan Hijau juga dengan MNF akan membuat program-program menanam bakau di seluruh negara sebanyak 300,000 pokok bakau dalam masa dua tahun.

“Kami juga akan libatkan pelajar dan pelanggan toyota untuk bersama-sama menanam dan dapat beri pengajaran kepentingan pokok-pokok untuk alam sekitar,” katanya.

Program Inisiatif Pucuk Hijau UMW yang dilancarkan semalam menyasarkan 300,000 pokok bakau ditanam di persisir pantai seluruh negara.

Setakat ini 30,000 pokok bakau berjaya ditanam dan pihaknya menyasarkan 150,000 pokok bakau akan ditanam sepanjang tahun ini.

Program Inisiatif Pucuk Hijau dipacu oleh Toyota dan Perodua dan turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Hijau Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia manakala Astro pula sebagai rakan pendidikan.

Petang semalam berlangsung pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau di Pantai Sri Tujuh, di sini yang dirasmikan oleh Mustapa dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Exco kerajaan Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ketua Bahagian Penjualan Agensi Bahagian Sentral dan Pantai Timur Astro, Nicholas Teh Aik Jun.

Inisiatif Pucuk Hijau merupakan kempen bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraaan serta kualiti hidup.