BUKIT GANTANG, 25 Jun – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengenal pasti aktiviti kartel yang membeli bekalan ikan nelayan pada skala besar di pusat pendaratan, namun enggan mendedahkan siapa pelakunya.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati aktiviti kartel berlaku di pusat pendaratan ikan di seluruh negara, tetapi tidak mengetahui jumlah sebenarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang berkata, kumpulan kartel membeli seberapa banyak ikan di pusat atau jeti pendaratan dan akan membeku serta menyimpannya susulan dalam tempoh beberapa bulan ini adalah musim pendaratan ikan yang banyak.

“Sebab itu LKIM perlu bertindak segera membuat perkara sama seperti kartel dengan membeli ikan terus di pusat pendaratan nelayan.

“Jika kartel membeli dengan harga tinggi, LKIM juga boleh membeli dengan harga sama, namun perlu melalui kaedah yang betul.

“Dengan cara ini, LKIM akan mendapat stok ikan yang banyak dan boleh dikeluarkan ketika musim tengkujuh atau pada waktu bekalan berkurangan bagi membantu rakyat yang terkesan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Enjin Sangkut Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang di Jeti Kampung Tebuk, Matang, di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 46 nelayan menerima enjin sangkut berkapasiti 15,30 dan 40 kuasa kuda dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM494,000.

Ditanya mengenai kaedah membendung aktiviti kartel ini daripada berleluasa, beliau berkata, LKIM kini sedang menyiapkan tender kepada syarikat yang layak untuk membekalkan ikan kepada pihaknya bagi menambah stok simpanan ikan sejuk beku.

Semalam, media melaporkan LKIM bimbang pihak kartel akan memonopoli pendaratan ikan nelayan sekiranya LKIM tidak bertindak segera membeli hasil pendaratan itu.

Dalam tempoh beberapa bulan bermula bulan ini adalah musim pendaratan ikan yang banyak, menyebabkan LKIM perlu bertindak segera membeli seberapa banyak hasil pendaratan untuk dibeku, disimpan dan dikeluarkan ketika negara mengalami kekurangan ikan atau pada musim tengkujuh.