PUTRAJAYA, 27 Jun – Atlet negara dinasihat agar lebih berhati-hati, terutama ketika menghampiri Sukan Komanwel dan temasya sukan utama lain.

Peringatan itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika melawat pemain skuasy negara, S. Sivasangari yang cedera selepas dalam terbabit kemalangan awal pagi semalam.

Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden BERSATU, menasihatkan atlet negara supaya tidak keluar ke mana-mana jika tiada keperluan dan sentiasa menjaga keselamatan diri.

“Kita sebolehnya tidak mahu sebarang insiden tidak diingini menimpa atlet negara yang sudah mengadakan persiapan sejak sekian lama dan menghalang pula mereka untuk turun bertanding,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya, hari ini.

Katanya, Sivasangari kini masih berada dalam pemantauan pihak hospital dalam beberapa hari ini susulan kecederaan di bahagian muka.

Jelas Ahmad Faizal lagi, beliau sempat berbual dengan Sivasangari dan dia memberi reaksi positif dan mempunyai semangat kental.

“Ini waktu getir tapi dia amat positif dan saya yakin dia mampu cepat sembuh dalam masa singkat.

“Keadaan kecederaan yang dialaminya dijangka mengambil masa dua ke tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya dan perlu dipantau sepenuhnya,” katanya.

Katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau perkembangan Sivasangara dan ISN akan datang membantu memberi rawatan jika dia tidak dapat sembuh sepenuhnya.

Kata Ahmad Faizal, pihaknya akan mencari atlet lain untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Komanwel yang berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sivasangari dilaporkan cedera di muka dan kepala selepas terbabit kemalangan kereta di Lebuhraya MEX, awal pagi semalam.

Pemain ranking ke-19 dunia itu menjadi sandaran utama menyumbang pingat buat Kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Monteiro Gerard Clair berkata, pengganti pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan diputuskan sebelum Rabu ini.