KUALA LUMPUR, 27 Jun – BERSATU Pulau Pinang membidas sikap UMNO yang disifatkan tidak malu berebut jawatan sesama mereka di dalam parti.

Ketua Bahagian BERSATU Tanjong Mohamad Kamal Fairos Mohamad Ibrahim berkata jika UMNO mahu khianat sesama sendiri pula tak perlulah bebankan rakyat dengan pertelingkahan dalaman parti mereka.

“Berita mengenai kerakusan sesetengah pemimpin UMNO bukan berita yang boleh membantu rakyat.

“Rakyat sudah bosan, letih dan lesu melihat pertelingkahan kuasa politik semakin parah di media massa mahupun media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamal berkata kebelakangan ini, media sudah sarat dengan berita pertelingkahan sesama pemimpin UMNO mengenai isu dalaman parti mereka.

Katanya, media massa sepatutnya digunakan sebagai pengantara komunikasi merentasi pelbagai lapisan masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang berguna bagi menambah pengetahuan rakyat serta membincangkan permasalahan rakyat.

“Pemimpin UMNO yang bertelagah dalam media massa mengenai siapa telah disingkir, siapa yang bakal disingkir, siapa yang perlu disingkir, atau siapa yang jangan disingkir, sepatutnya malu kerana menggunakan platform terbuka untuk berdebat hal dalaman.

“Dalam waktu rakyat sedang bergelut dengan cabaran kenaikan kos sara hidup, pemimpin UMNO sebegini adalah kumpulan yang tidak berpijak di bumi nyata dan terpisah dari isu-isu rakyat,” katanya.

Kamal berkata jika mahu membogelkan parti di khalayak ramai sekali pun, belajarlah berbahas dalam group telegram atau whatapps sesama ahli parti.

Beliau berkata rakyat sedang dibebani cabaran ekonomi yang terhasil selepas 15 orang Ahli Parlimen UMNO khianat untuk merampas kuasa pada Ogos 2021.

“Sehingga hari ini politik negara masih tidak stabil akibat pengkhianatan mereka.

“Berita mengenai kerakusan sesetengah pemimpin UMNO bukan berita yang boleh membantu rakyat,” katanya.