KUALA LUMPUR, 28 Jun – Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata ahli parti bebas datang dan pergi.

Masidi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertindak keluar BERSATU dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

“Tiada apa yang mahu diulas panjang (mengenai tindakan itu). Parti politik adalah sebuah pertubuhan sukarela,” katanya ringkas.

Mohamaddin yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama menjelaskan keputusan tersebut dibuat kerana beliau tidak diberikan peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.

Beliau yang juga bekas pemimpin Warisan mendakwa sebelum ini telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas lebih enam bulan, tiada sebarang peranan yang diberikan.

Terdahulu, Mohammadin pada Oktober tahun lalu mengumumkan keluar Warisan sebelum menyertai BERSATU pada bulan November tahun sama.