KUALA LUMPUR, 28 Jun – BERSATU menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan dakwaan wujudnya sokongan daripada ‘kluster mahkamah’ dalam akuan bersumpah (SD) menjadi perdana menteri sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan BERSATU, Dr Afif Bahardin berkata pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam mengesahkan dakwaan dan desas-desus sebelum ini memang wujud pakatan sulit di antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya mendesak Ahli Parlimen Port Dickson (Anwar) untuk wajib tampil memberi justifikasi mengenai kesediaan beliau bagi mendapatkan sokongan kluster mahkamah untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Apakah yang beliau telah janjikan kepada Zahid dan kluster mahkamah bagi memenuhi obsesi patologikalnya untuk bergelar seorang Perdana Menteri,” soal Afif.

Tambahnya, hipokrasi politikus PKR dan DAP juga cukup memualkan apabila tanpa segan menyelar ahli politik PN dengan pelbagai panggilan tetapi diam seribu bahasa apabila terbukti Anwar sendiri sanggup menerima sokongan Ahli Parlimen dari kluster mahkamah.

Semalam, Tajuddin mendedahkan, sememangnya wujud SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Menurut Tajuddin, pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Zahid tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Bahkan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga mendakwa, beliau turut digesa menandatangani SD tersebut sehingga timbulnya isu jajaran baharu ketika itu.