PUTRAJAYA, 28 Jun – BERSATU masih belum menerima sebarang surat daripada Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengenai pengundurannya daripada parti itu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata bagaimanapun beliau akui Mohamaddin yang juga ADUN Segama ada menghantar mesej kepadanya pagi tadi untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Saya belum menerima sebarang surat (keluar parti) daripada dia. Dia baru cakap, saya tak terima apa-apa (surat) lagi.

“Dia ada hantar mesej dengan saya pagi tadi. Takkan berlaku apa-apa. Saya akan bincang dengan dia sebab dia kata nak bincang dengan saya,” katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) hari ini.

Pagi tadi di Kota Kinabalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada BERSATU dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan persekutuan serta negeri.

Mohammadin yang juga bekas pemimpin Warisan pada Oktober tahun lalu mengumumkan keluar Warisan sebelum menyertai BERSATU pada bulan November tahun lalu.