KUALA LUMPUR, 29 Jun – Armada BERSATU menggesa kerajaan melaksanakan langkah tegas bagi membela kebajikan rakyat dan memacu pertumbuhan yang mampan bagi mencapai gagasan besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ketua Armada Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Armada menentang sebarang penarikan semula subsidi pukal secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh.

Beliau berkata tindakan itu telah memberi kesan kepada golongan yang terjejas lebih lagi ketika negara sedang dalam proses pemulihan pasca wabak Covid- 19.

“Penarikan subsidi secara tergesa-gesa akan membebankan golongan B40 dan M40 di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Fayhsal, Armada prihatin akan kesan limpahan inflasi di peringkat global yang telah mengakibatkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan asas.

Beliau berkata salah satu usaha bagi meringankan bebanan rakyat, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga lebih RM77.3 billion setahun.

“Ini juga merupakan rekod tertinggi subsidi tahunan sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Wan Fayhsal berkata bagi memastikan harga bekalan tidak melambung, Armada mencadangkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan lebih tegas.

Katanya, jika perlu, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 boleh dipinda dengan segera di Parlimen bagi memberikan lebih banyak instrumen penguatkuasaan kepada kerajaan.

Tambahnya lagi, Armada juga menggesa kerajaan agar menghapuskan karenah birokrasi (red tape) dalam pengagihan subsidi dan bantuan kepada petani, penternak dan nelayan yang menghasilkan makanan negara.

Katanya, ini termasuk membuka kaunter-kaunter bergerak di kawasan tumpuan yang menjadi hub pengeluaran makanan.

“Dalam jangka sederhana, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menambah guna sama tanah-tanah pertanian milik negeri dan wakaf bagi meningkatkan pengeluaran makanan amat dialu-alukan dan perlu disegerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal berkata Armada juga menggesa agar kerajaan menggiatkan penyertaan anak muda dan pengunaan teknologi tinggi dalam usaha ini bagi melahirkan golongan petani moden berproduktiviti tinggi.

Katanya, ini bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya telah mengerahkan Armada di setiap kawasan Parlimen agar menggerakkan Skuad Prihatin Rakyat untuk memantau harga dan mengumpulkan aduan-aduan rakyat.

“Ini juga sejajar dengan hasrat kepimpinan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) untuk memacu gagasan besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.