KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung bermula 1 Julai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, B (0.43 sen/biji) dan C (0.41 sen/biji) di Semenanjung.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, harga siling baru untuk ayam standard dan telur ayam itu akan bermula pada 1 Julai ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi.

“Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40,” katanya.

Pada 24 Jun, Ismail mengumumkan kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Ismail berkata keputusan dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.

Sementara itu, Ronald berkata seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini.

Beliau berkata, bantuan itu adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Tambahnya, dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Feb lalu.

Beliau berkata isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja dan sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” katanya.