KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin lalu membuktikan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata ini berikutan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau enggan membantu kes mahkamah pemimpin UMNO terlibat.

“Pendedahan berani Tajuddin menerusi sidang media pada Isnin lalu, telah membuka segala pekung UMNO dan kepimpinan parti terbabit.

“Selepas digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Duta Besar Malaysia ke Indonesia ini secara lantang mengkritik parti dan presiden sendiri termasuklah beberapa pemimpin tertinggi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Sahruddin, pelbagai pihak telah memberi pandangan mahupun reaksi susulan dakwaan yang dibuat dan ada yang mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan mendakwa tindakan Tajuddin kerana didorong ‘rasa kecewa’.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pendedahan tersebut dari sudut lain sebenarnya membuktikan bahawa UMNO sedang berkecamuk dengan masalah dalaman selain membongkar tindakan atau keputusan yang membelakangkan jutaan ahli parti tersebut di seluruh negara.

Beliau berkata Zahid bukan sahaja dilihat tidak konsisten dalam setiap kenyataan yang dibuat malah sanggup untuk tidak bercakap benar kepada ahli parti demi kepentingan peribadi terutama apabila dikaitkan dengan kes mahkamah dihadapinya.

“Ianya juga membenarkan setiap kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebelum ini bahawa kluster mahkamah pernah meminta bantuan bagi menyelesaikan kes yang dihadapi.

“Pendedahan ‘saksi hidup’ Pasir Salak ini diharapkan dapat menyedarkan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO akan ketidakjujuran yang telah dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut selama ini.

“Amat malang bagi ahli sebuah parti yang sering melaungkan soal kestabilan politik apabila pimpinannya tidak bersikap jujur dan sanggup untuk melakukan apa sahaja termasuklah berbohong untuk agenda atau kepentingan peribadi,” katanya.

Dr. Sahruddin berkata pentadbiran kerajaan juga seharusnya diterajui dan dikemudi oleh kepimpinan yang berintegriti dan mempunyai akauntabiliti.

Katanya, kerajaan juga perlu prihatin terhadap kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat, bukannya mereka yang tidak memiliki nilai moral.