KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya wajar dilaksanakan selepas pembentangan Bajet 2023, bagi memberi ruang kepada kerajaan menyelesaikan isu peningkatan kos sara hidup yang serius ketika ini.

Ketua ARMADA BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata langkah untuk melaksanakan PRU-15 segera akan menjejaskan usaha kerajaan membantu rakyat kerana sejumlah besar peruntukan perlu digunakan untuk melaksanakan pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berpandangan, kerajaan sedia ada wajar diberi peluang untuk melaksanakan perkara yang dirancang untuk menyelesaikan isu semasa, sebelum Parlimen dibubarkan.

“Jika kita belanjakan untuk menguruskan pilihan raya, ia memerlukan jumlah yang besar, apatah lagi dalam keadaan COVID-19 masih ada ketika ini, ia akan merumitkan usaha kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

“Lagi pun sudah tidak lama, mungkin tidak sampai setahun (untuk Parlimen wajib dibubarkan). Jadi izinkan kerajaan selesaikan apa yang sudah dirancang.

“Apa yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini perlu kita lihat kesannya dalam tempoh enam bulan akan datang, jadi sekurang-kurangnya biar sampai pembentangan bajet tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ARMADA BERSATU di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, yang berpandangan PRU-15 perlu diadakan segera sekiranya mahu mengukuhkan kestabilan kerajaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal mengakui terkejut dengan langkah berhubung isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan BERSATU.

Katanya, ketika Ahli Parlimen BERSATU menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tiada sebarang tanda menunjukkan Zuraida tidak menyukai BERSATU.

“Sewaktu malam terakhir SD dihantar ke Istana, saya berada di sebelah Zuraida dalam bilik ketika menandatangani SD.

“Ketika itu tak nampak Zuraida menunjukkan tanda tidak suka pada parti, sebaliknya dia setuju saja keputusan parti untuk menamakan Ismail sebagai Perdana Menteri, yang dibuat atas dasar beliau sebagai anggota BERSATU.

“Kalau boleh isu (jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi disandang Zuraida) perlu diselesaikan secepat mungkin. Ia hanya satu jawatan, tidak sukar,” katanya.