KUALA LUMPUR, 29 Jun – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersetuju dengan tuntutan 20 gerakan mahasiswa yang mendesak supaya gaji menteri dan timbalan menteri dipotong.

Malah, Wan Ahmad Fayhsal turut berpandangan gaji pengerusi dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun juga wajar dipotong bagi membolehkan peruntukan itu disalurkan kepada usaha untuk membantu rakyat berdepan isu kenaikan kos sara hidup yang serius.

“Saya setuju jika Kabinet memutuskan untuk memotong gaji saya serta menteri menteri dan timbalan menteri yang lain.

“Bukan kami saja, malah penotongan gaji juga perlu membabitkan pengerusi GLC dan badan berkanun untuk berkongsi keperitan rakyat. Demi rakyat kita sanggup.

“Kadar potongan gaji juga terpulang, sama ada 10 atau 20 peratus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ARMADA BERSATU di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Beliau mengulas satu daripada lima tuntutan 20 gerakan mahasiswa yang mendesak pelaksanaan pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri bagi menangani situasi kenaikan harga barang yang berlaku secara mendadak ketika ini.

Wakil gerakan itu yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Aliff Naif Mohd Fizam, menyifatkan pembayaran gaji menteri dan timbalannya di negara ini sebagai tidak masuk akal, terutama ketika rakyat berdepan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Ketika ini, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan gaji bulanan Perdana Menteri berjumlah RM22,826.65, Timbalan Perdana Menteri pula berjumlah RM18,168.15.

Menteri pula diperuntukkan gaji bulanan sebanyak RM14,907.20, manakala Timbalan Menteri berjumlah RM10,847.65. Semua gaji ini tidak termasuk elaun.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA BERSATU, turut berpandangan kerajaan wajar mengkaji keperluan memotong peruntukan bukan keutamaan kepada menteri dan timbalan menteri, seperti elaun luar negara.

“Saya setuju pemotongan mana-mana perkara yang tidak beri kepentingan secara umum, yang jika tiada pun tidak beri kesan pada perjalanan tadbir urus negara.

“Kerajaan wajar pertimbangkan supaya peruntukan ini boleh disalurkan kepada perkara yang lebih mustahak, khususnya mengurangkan kesengsaraan rakyat berdepan cabaran inflasi yang cukup getir,” katanya.