KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ahli Parlimen Jeli yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu yang lebih dikenali sebagai Tok Pa berkata, semua dana parti itu diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya dan diuruskan oleh jawatankuasa berkenaan di peringkat UMNO negeri.

“Saya juga menafikan bahawa penyertaan saya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

“Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Zahid pada Selasa dilaporkan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiga ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai BERSATU selepas PRU14 kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataannya semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB), Ahmad Zahid berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen itu adalah antara ahli UMNO yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu Ahli Parlimen Jeli, Masjid Tanah dan Bagan Serai.

Presiden UMNO itu memaklumkan, Mustapa telah menyeleweng peruntukan kepada UMNO Negeri Kelantan sebelum PRU14.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU memaklumkan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019.

“Sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya pernah diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai bekas Pengerusi UMNO Kelantan pula, beliau juga telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018, manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU14 pada 16 Januari 2019.

“Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai BERSATU dan tidak pernah menyeleweng dana UMNO Kelantan bagi PRU14,” jelasnya.