KUALA PERLIS, 30 Jun – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid berpandangan mana-mana ahli parlimen di Malaysia tidak mempunyai sebarang halangan untuk melompat parti dan bebas untuk menyertai parti lain.

Beliau juga berkata tindakan itu tidak melanggar amalan sistem demokrasi di negara ini.

Jelasnya, tindakan untuk melompat parti atau beralih arah juga berkemungkinan didorong perasaan tidak puas hati terhadap tindakan di dalam parti yang diwakili ketika ini.

Rasol berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar daripada BERSATU pada Selasa lalu.

Tambahnya, tindakan Mohamaddin juga merupakan hak untuk mana-mana ahli parlimen berdasarkan apa yang dirasakan terbaik buat mereka.

“Kita negara bebas (untuk keluar parti), (dan) kita boleh sertai apa-apa parti sebab kita (mengamalkan sistem) demokrasi, setakat ini tiada halangan untuk seseorang itu berubah parti.

“Mungkin dia rasa parti yang dia ada sekarang tidak dapat membantu atau pun ada something dia tak puas hati dia boleh pergi as long as ianya tidak melanggar undang-undang.

“Bagi saya itu hak dia, sebab dia nak pilih mana terbaik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Negeri Perlis di sebuah hotel di Kuala Perlis semalam.

Pada Selasa, Mohamaddin mengumumkan keluar BERSATU dan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama menyatakan beliau kini bergelar wakil rakyat bebas dan setakat ini tidak menyertai mana-mana parti politik.