KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tawaran 1,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di rangkaian kedai serbaneka 24 jam KK Super Mart, dilihat bertepatan dengan suasana semasa.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana rakyat bimbang dan risau mengenai apa yang berlaku dalam negara, terutamanya kesan daripada pandemik Covid-19.

“Ramai yang hilang peluang pekerjaan, pendapatan semakin berkurangan, dan perniagaan tutup berikutan SOP yang berkuat kuasa ketika itu. Jadi, ini menyebabkan rakyat menanggung kesukaran dalam kehidupan mereka.

“Untuk pulih daripada cabaran ini, sudah pasti akan mengambil masa. Untuk memastikan kebajikan rakyat betul-betul terjaga, saya memuji usaha yang ditunjukkan Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) dengan sokongan KK Group Of Companies, untuk membantu golongan yang terkesan bagi mendapatkan kerja dengan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan di sini,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Program Kerjaya Anak Tempatan di KK Super Mart Jalan Alor (JAL2), hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Group, Datuk Seri Dr. KK Chai dan Ketua Penerangan Pusat Sayap Bersekutu BERSATU yang juga Presiden Dewan Perniagaan Minoriti (MBC), S Gobi Krishnan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata usaha sama NGO yang disokong syarikat ini patut menjadi contoh kepada semua syarikat lain dalam negara.

“Rakan-rakan kita daripada BERSATU, kita duduk berbincang bagaimana BERSATU sebagai parti politik memainkan peranan menjuari agenda-agenda membantu masyarakat, sumbangan kepada golongan memerlukan dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Maka, hasil usaha yang dilakukan Dewan Perniagaan Minoriti dengan kerjasama KK Group Of Companies adalah dilihat lebih mampan dan lestari untuk berdepan cabaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

“Sebab itulah usaha begini wajar disokong,” katanya.

Sementara itu, KK Chai berkata langkah menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan merupakan inisiatif yang baik untuk membantu ekonomi golongan yang terkesan dan juga negara.

Beliau juga menyeru agar masyarakat mengambil cakna dan menyokong usaha ini dengan mengisi kekosongan pekerjaan dengan segera.

“Kita cuba bantu kerana ekonomi masa ini agak mencabar. Kami menawarkan pekerjaan di semua rangkaian kedai kami kepada rakyat tempatan.

“Bagi yang memerlukan pekerjaan, boleh terus hubungi kami.

“Buat masa ini, hanya 1,000 kekosongan jawatan perlu diisi. Kami harapkan pada masa depan, kita boleh tambahkan lagi peluang pekerjaan,” katanya.