KOTA BHARU, 30 Jun – Sebanyak 70 peratus kes yang dikendalikan di mahkamah di Kelantan membabitkan kes jenayah berkaitan dadah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata selain kes dadah, kes berkaitan pengurusan tanah adalah kes kedua tertinggi di negeri itu.

Katanya, selain Kelantan, keadaan di beberapa negeri lain juga adalah sama iaitu kes dadah mengatasi kes-kes lain tetapi beliau tidak ada perincian negeri berkenaan

“Di Kelantan jika membabitkan kes sivil, banyak kes dilaporkan berkaitan pengurusan tanah, namun jika kes jenayah, 70 peratus adalah berkaitan dadah.

“Kes dadah ini adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan sebaliknya pelbagai pihak termasuk orang ramai perlu memainkan peranan dalam menangani kes dadah ini.

“Tahap kesedaran melalui pendidikan berkaitan kes jenayah dadah ini perlu dipertingkatkan kepada semua golongan termasuk pelajar sekolah sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah sudah membawa isu berkenaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan perbincangan sudah dibuat.

“Kempen kesedaran dadah perlu dijalankan secara berterusan di semua peringkat, bukan hanya program bermusim dalam mengekang jenayah dadah.

“Cabaran mendepani jenayah dadah adalah sangat besar dan disebabkan itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.