ARAU, 30 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mencari jalan penyelesaian penuh bagi masalah salah guna minyak masak bersubsidi bagi memastikan masalah kekurangan bahan itu tidak berlaku lagi.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, ini termasuklah penyelewengan dilakukan oleh pihak tertentu yang mencampurkan minyak masak bersubsidi dengan minyak masak terpakai untuk dijualkan kepada syarikat memproses biodiesel.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, perkara itu berlaku disebabkan minyak masak terpakai yang diproses untuk industri biodiesel, dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding dengan harga minyak masak bersubsidi.

“Kita dapat maklumat bahawa, pada suatu masa harga minyak terpakai boleh mencecah sehingga RM4.20 sekilogram, berbanding hanya minyak masak bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram,” katanya selepas merasmikan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM Perlis), di sini pada Khamis.

Rosol berkata dua hari lalu KPDNHEP Johor menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di sebuah kilang di Kota Masai, Pasir Gudang dan tindakan telah diambil.

Bernama sebelum ini melaporkan KPDNHEP Johor menyita 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki dicampur bersama minyak masak terpakai, selain menahan pemilik syarikat berusia 30 tahun bagi membantu sisatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, setiap bulan kerajaan menyediakan 60 juta kilogram minyak masak bersubsidi bagi kegunaan rakyat Malaysia, namun masalah kekurangan bekalan masih berlaku disebabkan penyelewengan.

Beliau berkata, sehingga kini KPDNHEP telah mengambil tindakan menarik balik lesen sembilan syarikat pengeluar minyak masak bersubsidi, manakala 15 syarikat digantung dan masih dalam siasatan.

“KPDNHEP berharap orang ramai turut memainkan peranan bagi membantu pihaknya mengatasi masalah itu dengan menyalurkan maklumat,” katanya.