Parti itu sedang dilanda masalah sekarang. Perang saudara sesama mereka sudah tidak dapat dielak lagi. Walaupun pemimpin-pemimpinnya cuba menafikannya, walaupun mereka berkata ia cuma kocak air di dalam cawan, tapi semua orang tahu cakap mereka dari dahulu, kini dan selamanya memang tak boleh pakai.

Sebahagian besar daripada kita di dalam Bersatu hari ini datangnya dari parti itu. Ada yang telah puluhan tahun bersama dengannya. Jadi kita faham sangat bagaimana budaya berpolitik mereka. Cah keting, cantas-mencantas, tikam kawan dari belakang, gila kuasa, tamak haloba adalah antara kata-kata kunci yang tak boleh dipisahkan daripada parti tersebut. Amalan politik berasaskan konsep ‘patronage’ dan ‘warlords’ menjadikan masing-masing berebut untuk berada di atas, waimma dengan memijak kepala kawan-kawan.

Yang menjadi biang keladi dalam peperangan kali ini tidak lain daripada puak penjilat kluster mahkamah. Puak yang pemimpin-pemimpin utamanya sedang berusaha dengan apa cara mengelak daripada terhumban ke penjara. Puak yang mengharap sokongan kepada kleptokrat akan mencerahkan peluang mereka dicalonkan pada PRU15. Puak yang ‘tak guna sekupang’ kalau dinilai daripada segi ketulusan dan keikhlasan perjuangan.

Itu masalah mereka. Biarkanlah. Luncai kalau tak terjun dengan labu-labunya pun lambat laun akan tenggelam bersama perahu. Sebabnya jika air memasuki perahu, dia akan menebuk dinding perahu itu untuk mengeluarkan air. Dia tak berapa cerdik. Lebih kurang sama macam mereka.

Kita dalam Bersatu, pada hemat saya, hanya perlu mempersiapkan diri untuk menerima kehadiran sahabat-sahabat baharu. Saya yakin dan pasti, hasil daripada peperangan itu akan ada sahabat-sahabat kita dari parti itu akan mencari tapak baharu untuk meneruskan perjuangan. Tugas kita sekarang adalah menanti kehadiran mereka, mengajak jika perlu, dan meyakinkan mereka bahawa Bersatu konsisten mendukung nilai-nilai terasnya dan kekal meletakkan integriti sebagai dasar perjuangannya.

Bersatu tidak meletakkan hawa nafsu di hadapan perjuangan. Walaupun mungkin ada perkara-perkara yang kita tidak setuju dengan kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri sekarang, kita tidak berusaha mengilas tangannya sebagaimana yang dilakukan oleh kluster mahkamah dari parti itu ke atas ‘abah’ kita dahulu. Kita tidak berunding di dalam gelap, menelefon secara sulit, menghasut sana menghasut sini untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang. Sebabnya, kita tidak tamak. Kita tidak ada kes di mahkamah, kita tak ada harta berbilion yang disorokkan, kita tak korek harta negara angkut bawa balik, kita tak curi harta rakyat. Jadi kita tak perlu menjatuhkan sesiapa untuk menyelamatkan diri.

Menjadi kewajipan kita, ahli-ahli Bersatu, mempertahankan nilai-nilai baik ini. Caranya mudah, bagi yang asalnya dari ‘parti itu’, tinggalkan jauh-jauh perangai lama. Jangan bawanya bersama ke dalam Bersatu. Yang bukan dari parti itu pula, sematkan dalam fikiran bahawa jika hendak kaya, hendak buat duit, hendak projek, hendak rasuah, hendak besarkan tembolok sendiri, carilah parti lain. Bersatu bukan tempatnya.

Dan kita yang dalam Bersatu ini pula harus berusaha menjadikan diri kita sebagai teladan bukannya sebagai sempadan. Yang tidak kurang pentingnya adalah berusaha untuk mengukuh dan memperkasakan lagi parti yang walaupun baru setahun jagung, tetapi telah Allah kurniakan peluang dan kesempatan untuk turut berada dalam barisan peneraju negara. Hargailah anugerah itu.

Telah berkali-kali saya suarakan, baik dalam tulisan mahupun di mana sahaja, bahawa kita sama sekali tidak boleh leka. Kita semua, daripada YB Tan Sri Presiden di peringkat paling atas sehingga semua ahli di akar umbi perlu sentiasa fokus pada usaha untuk meluaskan pengaruh parti. Tak guna kita membuang masa menyerang pihak itu dan pihak ini jika kain kita sendiri carik dan koyak.

Betulkan apa juga kelemahan yang ada, kemudian cari formula-formula baharu secara bersama untuk menggilap kecemerlangan parti. Banyakkan bermesyuawarah, rajin-rajin bertukar pandangan, amalkan semangat bekerja sebagai satu pasukan, bukannya main syok sendiri.

Di Bahagian Pendang, saya dan pasukan bekerja siang malam untuk memastikan Bersatu diterima sebagai wadah perjuangan yang tidak akan menjadikan agama, bangsa dan tanah airnya sebagai
‘barang dagangan’. Kami gunakan segala bentuk pendekatan bagi meyakinkan khalayak bahawa inilah parti yang harus dijadikan sandaran. Alhamdulillah, setakat ini usaha itu berjaya. Buktinya hampir setiap bulan ada sahaja cawangan baharu yang berjaya ditubuhkan.

Saya percaya kita semua mempunyai keupayaan yang sama. Soalnya, bagaimana kita menggunakan keupayaan itu dan formula apa yang kita pakai. Bagi saya formulanya mudah; sentiasa mengingatkan diri sendiri, jika kita bermula dari kosong dan boleh sampai ke tahap ini, kenapa dari tahap ini kita tidak boleh bergerak ke mercu yang lebih tinggi?

Penulis adalah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abd Razak Khamis, Ketua Bahagian BERSATU Pendang. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.