KUALA LUMPUR, 30 Jun – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) mengambil inisiatif mengorak langkah dengan mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat konglomerat supaya membuka peluang pekerjaan yang sebelum ini diisi oleh pekerja asing.

Presiden Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) S Gobi Krishnan berkata walaupun kesan pandemik Covid-19 kurang baik dari segi sosio-ekonomi rakyat, namun kini kewujudan peluang pekerjaan semakin banyak untuk diisi anak-anak tempatan, yang sebelum ini dimonopoli warga asing.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pusat Sayap Bersekutu BERSATU Malaysia berkata, fasa pertama inisiatif ini adalah sasaran 1,000 kekosongan peluang pekerjaan untuk diisi di rangkaian kedai serbaneka 24 jam KK Super Mart.

“Sebelum ini warga asing yang bekerja, tetapi peluang itu kini dibuka kepada warga tempatan.

“Sasaran kami adalah anak muda semua bangsa yang samada duduk di bandar atau luar bandar.

“Fasa pertama bersama KK Super Mart, dengan sasaran 1,000 kekosongan diisi bermula 30 Jun sehingga 30 September iaitu tiga bulan. Fasa seterusnya akan dilancarkan dengan kerjasama konglomerat lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Kerjaya Anak Tempatan di KK Super Mart Jalan Alor (JAL2), hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Group, Datuk Seri Dr. KK Chai dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.