KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi keluar parti bukanlah satu masalah besar kepada BERSATU.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, pihaknya mengambil maklum berhubung keputusan yang diambil oleh Mohamaddin untuk menyertai parti lain.

“Tak apalah kalau itu keputusan yang hendak diambil. seboleh-bolehnya kita nak lebih ramai orang masuk menyertai kita dan pada waktu sama memang kita tak dapat nafikan ada yang nak masuk, ada yang nak keluar,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Kerjaya Anak Tempatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU Malaysia S Gobi Krishnan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau tidak bimbang dengan langkah yang diambil oleh Mohamaddin untuk keluar parti itu kerana ia tidak menjejaskan BERSATU yang kini sudah memiliki lebih 700,000 keahlian.

Katanya, jika seorang daripada anggota parti itu meninggalkan BERSATU, akan ada 10 lagi pengganti yang lain.

“Jadi, daripada 700,000 itu kalau seorang keluar 10 masuk kalau ada sorang keluar lima masuk ini satu aliran yang biasalah, saya tak bimbang sangat,” tambahnya.

Kelmarin, Mohamddin dalam satu sidang media di Sabah mengumumkan keluar BERSATU.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mahu bergelar wakil rakyat bebas dan setakat ini tidak menyertai mana-mana parti politik.

Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu Mohammadin mengumumkan keluar Parti Warisan dan menyertai BERSATU pada bulan November tahun sama.