KUALA LUMPUR, 30 Jun – Seorang presiden parti tempatan di Sabah ditahan kerana terlibat sindiket penipuan kad pengenalan palsu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, suspek itu dikenali sebagai Mohd Arshad Abdul Mualap yang mengetuai Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Dia didakwa menjadi dalang sindiket terbabit.

Suspek kini ditahan bersama seorang lagi lelaki di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi, Mohamad Amkah Ahmad turut disiasat polis.

“Kedua-dua mereka telah ditangkap pada 22 Jun lalu di Selangor dan dituduh di Mahkamah Shah Alam pagi tadi,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata sindiket berkenaan mendakwa kad pengenalan palsu itu mampu memberikan kelebihan kepada pemegangnya.

“Kumpulan itu kononnya boleh berikan kad pengenalan seolah boleh digunakan di negara kita.

“Mereka akui sesiapa sahaja yang pegang kad ini boleh mendapatkan segala kelebihan.

“Paling penting kata-kata yang dikeluarkan sindiket ini orang boleh diberikan kad pengenalan warganegara,” katanya.

Tambahnya, setiap kad pengenalan palsu itu dijual kepada individu bukan warganegara negara pada harga RM500 hingga RM1,000 seunit.

Setakat hari ini, beliau berkata sejumlah 400 kad pengenalan palsu telah diberikan kepada warganegara asing berdasarkan kepada borang permohonan yang dirampas pihak polis.