KUALA LUMPUR, 30 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa untuk fokus menjelaskan pendedahan yang dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kepada akar umbi partinya berbanding sibuk menyerang Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman membidas kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah tidak berkesan.

Beliau berkata fungsi MPN sememangnya lebih luas berbanding Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan oleh pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Seperti mana penjelasan Muhyiddin sebelum ini, MPN akan akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“Manakala Pasukan Khas tersebut pula adalah salah satu tindakan pihak kerajaan bagi menangani (bertindak) menyelesaikan isu spesifik semasa iaitu inflasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini berkata, fungsi MPN sudah tidak berkesan dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat dengan tertubuhnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut Ahmad Zahid, kewujudan MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dari awal lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz menasihatkan kepada Ahmad Zahid agar menumpukan perhatiannya terhadap perbicaraan mahkamah beliau yang sedang menghampiri noktahnya.

Beliau juga berkata berkata Ahmad Zahid terdesak menyerang pimpinan BERSATU untuk mengalih perhatian masyarakat dari sesi perbicaraan mahkamah bagi skandal korupsi dan salah guna kuasa melibatkan Yayasan Akal Budi naungannya.

“Tidak cukup dengan cuba memfitnah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Undang-Undang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin atas tuduhan penyelewengan wang milik partinya, Pengerusi BN itu kini menghala serangan kepada Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi MPN,” katanya.